Home


 
 Penang Hill Heritage Forest Challenge 2022
Lebih 700 sertai Penang Hill Heritage Forest Challenge 2022 , 21-08-2022

Lebih 700 sertai Penang Hill Heritage Forest Challenge 2022

GEORGE TOWN – Selepas dua tahun tertangguh akibat penularan wabak COVID-19, edisi ketujuh Penang Hill Heritage Forest Challenge 2022 (PHHFC 2022) kembali lagi dengan penyertaan lebih 700 peserta domestik dan antarabangsa.

Program anjuran Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) itu adalah dengan kerjasama beberapa pihak lain seperti Active Style Concept, Persatuan Penduduk Bukit Bendera dan Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang; serta disokong oleh Kerajaan Negeri hari ini.

GAMBAR menjelang 7 pagi tadi sebelum acara pelepasan peserta PHHFC 2022 di perkarangan Taman Rekreasi Kuari di sini.

Enam kategori dipertandingkan mengikut peringkat umur iaitu Terbuka Lelaki (18 – 34 tahun), Junior Veteran Lelaki (35 – 47 tahun), Senior Veteran Lelaki (50 tahun dan ke atas), Terbuka Wanita (18 – 39 tahun), Veteran Wanita (40 tahun dan ke atas), dan Antarabangsa (terbuka)

Bagi setiap kategori, hadiah tempat pertama berupa wang tunai RM1,500 berserta pingat dan e-sijil penyertaan; begitu juga tempat kedua (RM1,000), tempat ketiga (RM500) dan lima saguhati (RM200 setiap orang).

JOSEPH Ng Soon Siang (lima dari kiri) bersama-sama barisan pemimpin lain dengan bendera Jalur Gemilang sebelum acara pelepasan peserta PHHFC 2022.

Seawal jam 6 pagi para peserta telah berhimpun sekitar Taman Botani Negeri Pulau Pinang bagi menyahut cabaran pada kali ini iaitu merentasi laluan mencabar sejauh 15.5 kilometer (km) dari Taman Rekreasi Kuari dan berakhir di Dataran, Stesen Atas Bukit Bendera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dengan diiringi Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Herry Chai Heng Hua, dan Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Korporat PBBPP, Shahril Nizam Cheah hadir menyempurnakan acara pelepasan peserta pada detik 7 pagi.

WONG Hon Wai

Pada jam 10 pagi bertempat di dataran dekat Stesen Atas Bukit Bendera pula, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai menyempurnakan majlis perasmian penutup serta penyampaian hadiah kepada para pemenang larian dan acara cabutan bertuah.

Beliau, semasa berucap antara lain memberitahu bahawa 2022 merupakan tahun pertama perlumbaan itu diadakan selepas Bukit Bendera digazetkan sebagai Rizab Biosfera UNESCO.

“Baru-baru ini saya telah menyertai Rawang ByPass Half Marathon dan saya benar-benar bersetuju bahawa perlumbaan adalah satu pengalaman yang mencabar namun bermanfaat.

“Ia lebih daripada sekadar sukan kompetitif; ia adalah satu aktiviti yang kadangkala memberi pengajaran kepada kita tentang kehidupan (iaitu) kepantasan, kekuatan dan ketahanan sememangnya penting dalam perlumbaan.

“Kepada semua peserta PHHFC 2022, saya berharap rakan-rakan pelari turut dapat menikmati pemandangan hutan hujan semula jadi memandangkan ini tahun pertama penganjuran selepas Bukit Bendera digazetkan sebagai Rizab Biosfera UNESCO,” ujarnya lagi di depan hampir 1,000 hadirin termasuk pengunjung domestik dan pengembara antarabangsa yang melawat kawasan rekreasi tanah tinggi terkenal itu.

WONG Hon Wai (depan, kanan) menyampaikan replika hadiah pemenang kedua Kategori Terbuka Wanita PHHFC 2022 kepada Mariani Ishak di Dataran Stesen Atas Bukit Bendera di sini menjelang tengah hari tadi.

Untuk rekod, PHHFC mula dianjurkan pada tahun 2014 sebagai galakan kepada para pendaki dan pelari dalam kalangan orang awam untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui acara sukan.

Di samping itu, penganjuran acara tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai peri penting penjagaan alam semulajadi serta pemuliharaan warisan di sekitar Bukit Bendera; serta sekali gus mempromosi lagi Pulau Pinang sebagai destinasi ekopelancongan terkenal serantau.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING

More Latest Updates Related To This Event :
1 28-07-2022, 22:17:13 Route GPX File
2 12-07-2022, 16:00:21 Bring Your Own Bottle/Cup! Go Green! Help Save The Environment!
3 27-06-2022, 17:18:37 MEI Hotel Penang Offering Special Rate
4 27-06-2022, 14:21:43 升旗山古迹森林挑战赛 6月30日报名截止有意者尽速行动
5 16-05-2022, 18:58:11 Penang Hill challenge back for seventh edition
     

Actife Style © 2024. All Rights Reserved